Saturday, 1 December 2012

Pantun Teka Teki

Guru-guru juga boleh menarik minat murid dengan mengadakan teka teki melalui pantun. Melalui pengalaman saya dengan pantun teka teki ini dapat memperlihatkan pembelajaran secara aktif daripada murid-murid. Saya membahagikan murid-murid kepada beberapa kumpulan. Setelah saya selesai membaca pantun teka teki, murid-murid akan berbincang dalam kumpulan mereka dan kumpulan yang dapat memberikan jawapan dengan cepat dan betul menerima ganjaran yang saya sediakan. Melalui aktiviti ini juga murid-murid dapat membina kemahiran berfikir dan bekerjasama ketika berbincang dalam kumpulan. Cikgu-cikgu di luar sana bolehlah mencuba aktiviti pantun teka teki ini dengan anak-anak murid anda dan perhatikan gelagat anak-anak murid ketika berbincang mencari jawapan, pasti ada yang menggelikan hati.

ikalau tuan tajuk cendana,
Ambil gantang jemurkan pala,
Jikalau tuan bijak laksana,
Binatang apa ekor di kepala? → gajah

Jikalau tuan tajuk cendana,
Ambil gantang sukatkan padi,
Jikalau tuan bijak laksana,
Binatang apa bertanduk di kaki. → ayam jantan

Jikalau tuan tajuk cendana,
Ambil gantang sukatkan pulut,
Jikalau tuan bijak laksana,
Binatang apa tanduk di mulut. → nyamuk

Belayar perahu dari Berandan,
Menuju arah Selat Melaka,
Lebar kepala dari badan,
Apakah itu cubalah teka. → ikan pari

Burung nuri burung dara,
Terbang ke sisi taman kayangan,
Cubalah cari wahai saudara,
makin diisi makin ringan. → belon

Hari-hari ke rumah Cik Hitam,
Melihat orang memotong tebu,
Apa binatang darahnya hitam,
Janggut delapan tulangnya satu. → sotong
 
Diukur dijangka-jangka,
Burung merak burung angkasa,
Dengar tuan saya meneka,
Layang-layang gagah perkasa. → kapal terbang

Pak Pong Pak Mustafa,
Encik Dollah di rumahnya,
diadun tepung dengan kelapa,
Gula Jawa di tengahnya. → kuih melaka/ lompang
 
Kalau tuan bawa keladi,
Bawa juga sipucuk rebung,
Kalau tuan bijak bestari,
Apa binatang tanduk di hidung. → badak sumbu

Kalau tuan muda teruna,
Pakai seluar dengan gayanya,
Kalau tuan bijak laksana,
Biji di luar apa buahnya. → buah gajus
 
Walau dibungkus bukan kiriman,
Sudah takdir tuhan yang satu,
Meski ditanam bukan tanaman,
Cubalah teka apakah itu? → mayat/jenazah

Ambil betik potongkan pisau,
Buah masak pokoknya rendah,
Kecil-kecil berbaju hijau,
Sudah besar berbaju merah. → cili api/lada besar

Ada sebiji roda pedati
Bentuknya bulat daripada besi
Bila bermain diikat sekuat hati
Dilempar hidup dipegang mati? → gasing

Buah budi bedara mengkal
Masak sebiji di tepi pantai
Hilang budi bicara akal
Buah apa tidak bertangkai? → buah melaka, buah hati

Kelip-kelip kusangka api
Kalau api mana asapnya?
Hilang ghaib disangkakan mati
Kalau mati mana kuburnya? → kilat di langit
 
Budak-budak bermain batu
Batu dikira satu persatu
Badannya lurus bermata satu
Ekornya tajam apakah itu? → jarum

Jika tuan membeli tikar
Tikar anyaman dari mengkuang
Kalau tuan bijak pintar
Ular apa membelit pinggang? → tali pinggang

Pokoknya bulat dan juga rendang
Masam dan hijau ketika muda
Buahnya berbentuk seperti bintang
Sudah masak, kuninglah ia. → belimbing

Mak Minah menanak minyak
Kemenyan dibakar dengan setanggi
Dua peha beranak banyak
Untuk mendaki tempat yang tinggi? → tangga

Orang bekerja diberikan upah
Hidangan disaji dalam talam
Gajah putih ditengah rumah
Layar terkembang di waktu malam? → kelambu

Gigi berduri tatah bersigai
Pembelah kayu ia berguna
Jika tuan orang yang pandai
Benda apakah makannya dua cara? → gergaji

Jika ke kedai pergi berbelanja
Belikan saya sudu dan senduk
Jika pandai katakan ia
Semakin berisi semakin menunduk? → padi
 
Kalau tuan pakai lencana
Pakailah songkok di atas kepala
Kalau Tuan bijak laksana
Binatang apakah tiada kepala? → ketam

Pisau lipat dimainnya kera
Tangannya luka lalu terjun
Makan kuat tidak terkira
Kenyangnya tidak tahi bertimbun? → api

Minah ketawa terjerit-jerit
Melihat koyak pada seluar
Orang putih duduk sederet
Pagar di dalam tebing di luar? → gigi
 
Tuan puteri belajar menari
Tari diajar oleh Pak Harun
Kalau Tuan bijak bestari
Apa yang naik tak pernah turun? → umur

Buah cermai di dalam lubang,
tepung digaul minyak sapi,
Anaknya ramai ibunya seorang,
Bila digesel berapi-api? → mancis

Mulut manis hati nak baik,
Itulah amalan turun-temurun,
Benda apa yang akan naik,
Apabila saja hujan turun? → payung

Koleksi Pantun Prasekolah

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Pada kali ini kita akan bercerita mengenai pantun untuk kanak-kanak prasekolah. Sebagaimana yang kita tahu, pantun adalah satu lambang identiti masyarakat kita khususnya orang Melayu yang perlu kita pelihara agar tidak pupus ditelan zaman. Oleh itu langkah untuk memperkenalkan pantun kepada murid-murid prasekolah adalah wajar supaya mereka dapat mengenali pantun daripada awal lagi dan dapat memahami fungsi-fungsi yang dibawa daripada pantun-pantun tersebut. Sekiranya kanak-kanak tidak diperkenalkan dengan pantun, maka mereka akan kehilangan satu nilai murni yang dibawa oleh pantun tersebut yang kebiasaannya menggunakan lenggok bahasa yang halus dan sedap didengar berbanding dengan bahasa moden sekarang yang kedengaran agak kasar. Mari kita lihat tayangan video di bawah yang menunjukkan kebolehan kanak-kanak prasekolah dalam melafazkan pantun dan saya percaya murid-murid boleh melafazkan pantun sekiranya mendapat bimbingan dan tunjuk ajar yang betul daripada guru-guru mereka.


Bagaimana? Sudah melihat aksi kanak-kanak ini berpantun? Pantun yang dibaca oleh kanak-kanak ini adalah pantun sempena Hari Kemerdekaan. Di bawah saya akan kongsikan beberapa pantun yang mudah bagi sesi pengenalan pantun kepada murid-murid prasekolah.

Timang tinggi-tinggi
Sampai cucur atap
Belum tumbuh gigi
Pandai baca kitab

Ayam kedek-kedek
Beri makan padi
Abang sayang adik
Mesti ajar mengaji


Burung kenek-kenek
Hinggap bawah batang
Apa pesan nenek
Cepat-cepat pulang


Anak lembu merah
Tambat di pokok asam
Adik kena marah
Tarik muka masam


Burung Kakak Tua
Hinggap di jendela
Nenek sudah tua
Giginya tingal dua


Burung Kakak Tua
Ada anak empat
Nenek sudah tua
Jalan pakai tongkat


Ayun anak ayun
Ayun hujung serambi
Bangun adik bangun
Jangan tidur tinggi hari

Friday, 16 November 2012

KAD MEMBACA PINTAR

Kali ini saya kongsikan lagi bahan bacaan untuk murid-murid prasekolah. Kad bacaan dengan suku kata berwarna memudahkan lagi untuk murid-murid yamg belum mahir membaca untuk mengeja terlebih dahulu. Diharapkan dengan perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada kita semua. Sila klik link di bawah.

KAD MEMBACA PINTAR




Friday, 9 November 2012

Kad Bacaan


Murid-murid semua suka membaca?  Siapa yang dah pandai membaca mesti seronokkan? Di sini cikgu hendak tunjukkan kad bacaan untuk murid-murid supaya semuanya boleh membaca. Semua mesti rajin-rajin membaca ya. Kalau hendak membaca lagi, sila lihat di laman bahan pengajaran dan pembelajaran.


Thursday, 1 November 2012

Kad Suku Kata

Pada kali ini saya akan bercerita mengenai kad suku kata. Mengetahui dan mempelajari tentang suku kata amat penting bagi murid prasekolah sebelum mereka dapat membaca dengan lancar. Suku kata yang dipelajari adalah secara berperingkat bermula daripada yang mudah kepada yang lebih sukar. Untuk langkah pertama, dimulakan dengan suku kata terbuka iaitu suku kata KV seperti contoh gambar di bawah.
 
 
 
 
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai suku kata, sila lihat di laman bahan pengajaran dan pembelajaran. Di situ disediakan lebih banyak contoh-contoh kad suku kata untuk murid-murid prasekolah.
 

Saturday, 20 October 2012

Lagu ABC


 Mari menyanyi lagu abc bersama-sama. Sila klik video di bawah untuk menonton.



Klip Abjad dan Vokal.

Murid-murid prasekolah sekalian, untuk permulaan, mari kita mengenal abjad dan huruf vokal terlebih dahulu. Ini bukan untuk tontonan murid-murid sahaja tetapi untuk guru-guru pun boleh juga... Abjad dan Vokal